Perkembangan Kerjaya Azwan Ali

Kerjaya Azwan sebagai pengacara televisyen bermula apabila beliau menyertai TV3 pada Mac 1988. Azwan ditugaskan di bilik berita dan diasuh menjadi pengacara seawal usia 22 tahun.Azwan sempat mencuba bakat sebagai pelakon apabila membintangi drama televisyen berjudul Naik Tangga Turun Tangga pada 1989 dan selepas itu filem Harry Boy (1991). Azwan juga diundang berduet dengan penyanyi Wann dalam lagu Nilai Cinta.

Pada tahun 1989, Azwan mengambil alih tugas sebagai pengacara program hiburan mingguan popular Muzik Muzik bersama gandingannya Charmaine Agustine. Melalui rancangan itulah Azwan menempa nama sekaligus menjadikan program tersebut beserta acara tahunan Anugerah Juara Lagu ke puncak populariti di seluruh Malaysia. Azwan bersama Muzik-Muzik selama 8 tahun sebelum mengambil keputusan untuk meninggalkan kerjaya tetap sebagai personaliti TV3 pada tahun 1997.

Ketika bersama TV3 beliau menjadi pelopor kepada gaya baharu pengacaraan dan menjadi rujukan buat ramai pengacara baru selepas itu. Azwan terkenal kerana kecekapan dan kebijaksanaan beliau dalam mengendali program berunsur hiburan. Pada tahub 1994, beliau meraih penghargaan sebagai Personaliti TV Terbaik di Anugerah Skrin yang pertama.

Setelah itu Azwan sempat meneruskan bakat lakonannya dalam drama Perang Mertua gandingan bersama aktres Nuraliah Lee pada tahun 1995. Azwan juga mengarahkan banyak drama komedi berunsur parodi untuk siaran TV3. Antara yang paling diingati adalah drama bersiri Sambal (1994-1996) dan drama raya Lontong(1996).

Selain menjadi pengacara, Azwan juga diberi peluang untuk menerbitkan progran televisyen. Azwan menerbitkan rancangan gossip Melodi selama beberapa tahun ketika Seniwati Fauziah Ahmad Daud ditugaskan sebagai pengacara. Ketika itu pelbagai pembaharuan diperkenalkan oleh Azwan bagi menarik ramai penonton menyaksikan program tersebut. Azwan juga pernah mengemudi program bual bicara forum iaitu Teleskop dan kemudiannya dijenamakan semula sebagai Mikroskop gara-gara kontroversi yang melibatkan kenyataan yang diberikan oleh artis-artis yang terlibat.

Pada tahun 1997, Azwan membintangi filem box office Puteri Impian dengan melakonkan watak sebagai dirinya sendiri. Dalam filem tersebut watak gadis kilang lakonan Amy Mastura digambarkan sangat meminati Azwan dan program kendalian Azwan di kaca televisyen.

Setelah meninggalkan TV3, Azwan dilamar Astro yang masih baru beroperasi ketika itu untuk menerbitkan sendiri rancangan bual bicara kendalian Azwan. Pada Julai 1998, maka program Cit Cat Azwan mula bersiaran di saluran Astro. Program bual bicara santai Azwan menemubual artis-artis tempatan dan serantau itu mendapat perhatian ramai dan pujian penonton televisyen. Pada tahun 1999, Azwan berjaya merangkul anugerah Program Bual Bicara Terbaik di Anugerah Televisyen Asia ke-8 di Singapura.

Rancangan Cit Cat Azwan bersiaran selama 10 tahun dan cukup terkenal dengan kata tanda "Amboi, Amboi, Amboi". Seiring itu Azwan juga berjaya mengumpulkan puluhan artis setiap tahun untuk meraikan Parti Cit Cat Azwan yang diadakan di pusat peranginan terkemuka seluruh negara. Program ini dianjurkan dari tahun 2000 hingga 2007 di mana ramai artis terlibat juga diberikan penghargaan dalam malam anugerah khas.

Setelah ditamatkan kontrak di Astro dan tamatnya rancangan Cit Cat Azwan, beliau kembali ke TV3 untuk program bual bicara Jangan Tidur Lagi digandingkan bersama selebriti Adlin Aman Ramli. Program ini bagaimanapun tidak bertahan lama apabila bersiara selama 3 musim sahaja.

Setelah itu Azwan agak terumbang-ambing dalam kerjaya seninya apabila tidak lagi menjadi pilihan utama stesen televisyen. Namun begitu setiap kali kemunculannya di TV, terutama setelah memperkenalkan karekter Baby AA (untuk program Propaganza) dan Diva AA pasti meninggalkan impak dan menjadi topik perbualan umum hingga beliau dikenali sebagai Artis Kontroversi.

Pada tahun 2013, Azwan menyertai program realiti masakan Masterchef Celebrity Malaysia dan setahun selepas itu Masterchef Celebrity All Stars.

Pada 2015, beliau menyertai barisan artis muda dalam program ala Running Man, iaitu Lari tayangan TV9. Penampilan Azwan dalam program tersebut digemari ramai kerana aksi lucu dan jujurnya. Setelah itu Azwan juga muncul dalam rancangan Aku Yang Masak Kau Yang Panas siaran Astro.

Sejak 2016, Azwan tidak lagi aktif di kaca TV dan hanya muncul sekali sekala baik sebagai tetamu ataupun juri undangan.